Kerana Bisnes, Saya Bankrap

Kita selalu dengar dan lihat, kebanyakan individu yang hidup bebas masa dan bebas kewangan, adalah mereka yang terdiri daripada golongan yang mempunyai perniagaan sendiri.


kebebasan masa dan kewangan
Dalam masa sama, ia memberikan satu petunjuk dan inspirasi kepada segelintir kita, untuk memulakan perniagaan akibat terdorong dengan kemewahan yang mereka miliki.Antara simbol-simbol yang menarik perhatian mereka adalah kereta besar, rumah besar, dan berpeluang untuk melancong ke mana-mana. Tidak terkecuali juga jumlah wang sehingga berjuta-juta ringgit dalam akaun  bank para pemilik perniagaan ini.

Kisah Seorang Peniaga Rakus


.kehidupan mewah


Niat untuk memiliki bisnes itu tidak salah. Malah ia adalah satu perkara yang dituntut oleh agama, bangsa dan negara bagi memacu ekonomi dari pelbagai sudut.
Dalam buku Memulakan Bisnes Sendiri oleh Ainon Mohd. menyatakan, mereka yang sentiasa gagal menjalankan perniagaan sehingga mencapai status bankrap adalah golongan yang fokusnya terletak pada simbol-simbol kekayaan, seperti duit, kereta, dan rumah semata-mata.
Situasi ini juga berlaku pada rakan penulis di mana tujuan utama beliau memulakan perniagaan adalah untuk hidup mewah. Kerana baginya, usahawan yang berjaya adalah mereka yang memiliki simbol-simbol kekayaan seperti kereta mewah, rumah besar dan sebagainya.
Mempunyai impian untuk memiliki kereta idaman itu tidak salah. Namun dalam perniagaan, masyarakat kita sering memandang kereta mewah itu mudah untuk dimiliki, apabila kita sudah membangunkan perniagaan dalam tempoh yang singkat, iaitu dalam masa kurang 1 tahun.
Sifat rakus terhadap simbol-simbol ini adalah sifat yang membunuh usahawan dan perniagaan itu sendiri. Seperti yang berlaku pada beliau, dalam tempoh 6 bulan pertama apabila syarikat yang dikendalikan oleh rakan penulis ini mencapai jualan lebih 5 angka setiap bulan, dia terus membeli kereta mewah.
Dia tidak pedulikan bagaimana kestabilan perniagaan dalam masa 6 bulan akan datang. Akibat daripada perbuatan ini, tidak sampai 10 bulan, perniagaannya mengalami kerugian sehingga mencecah 6 angka.
Ini kerana wang masuk dan keluar itu digunakan tanpa dicatat dan ‘dicuri’ oleh beliau sendiri. Oleh sebab itu,  perniagaannya kini sudah tidak mampu untuk menampung kos-kos bulanan seperti sewa pejabat, pembayaran gaji pekerja dan sebagainya.
Apa yang lebih menyedihkan, kereta mewahnya juga kini ditarik kerana beliau tidak mampu untuk membayar duit kereta setiap bulan.
Kini, dia hidup seperti orang yang keliru dan berhutang di sekeliling pinggang. Badannya juga susut teruk kerana terlalu stres, dan tidak cukup makan.
Pengalaman bertemu dengan beliau dan mendengar kisahnya membuka minda penulis untuk berkongsi sedikit sebanyak tip yang berkaitan dengan memulakan sebuah perniagaan. Antaranya adalah:


3 Tip Mengelak Bisnes dan Diri Sendiri Bankrap

  1. Menghapuskan simbol kekayaan sebelum berniaga.
  2. Mulakan bisnes kecil-kecilan.
  3. Menjaga wang masuk dan wang keluar.
#1 – Menghapuskan Simbol Kekayaan Sebelum Berniaga
Tidak semua usahawan yang berjaya menjadikan simbol kekayaan sebagai matlamat akhir mereka. Kajian-kajian yang dibuat mendapati, usahawan-usahawan yang berjaya ini menjadikan simbol kekayaan sebagai satu bonus kepada diri mereka, selepas mereka berusaha keras untuk membangunkan perniagaan.




Ini bermakna, fokus utama usahawan adalah membina dan menstabilkan perniagaan terlebih dahulu sebelum membeli ‘hadiah’ untuk kepuasan diri sendiri.


#2 – Mulakan Bisnes Kecil-kecilan
Bagi yang tidak mempunyai pengalaman berniaga. Cari pengalaman dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Ini bagi membantu kita untuk memahami aspek-aspek asas perniagaan sebelum melangkah ke peluang bisnes yang lebih besar.
Namun begitu, perniagaan yang kecil, risiko tidak semestinya kecil. Ada juga bisnes kecil yang akan membuatkan kita rugi besar.
Tetapi bisnes yang besar, tahap kerugian itu pasti besar. Apabila kita berjaya membangunkan bisnes kecil, maka ia menunjukkan kita mempunyai potensi untuk mengawal bisnes-bisnes besar.


#3 – Jaga Wang Masuk dan Wang Keluar
Sebagai usahawan, perniagaan yang dimiliki memberikan kita sesuap nasi setiap hari. Apabila kita gagal mengetahui wang masuk dan wang keluar, ia mendorong kepada kerugian secara halus.


keluar masuk wang




Daripada kerugian-kerugian yang halus ini, ia akan membawa kepada kerugian berjumlah sehingga jutaan ringgit.
Jaga wang perniagaan kita. Tahu dan catat setiap kali transaksi yang berlaku supaya kita dapat kesan perjalanan wang tunai yang bocor.

Duit, Duit, Duit Dalam Bisnes

Sebagai pemilik perniagaan, semakin banyak duit yang ada di dalam akaun, semakin tinggi nilai perniagaan itu. Hal ini tidak dinafikan kerana duit merupakan penjamin untuk perniagaan itu terus bertahan.
Namun begitu, gunakan duit dengan cara yang betul. Pembaziran kerana hendak memuaskan nafsu semata-mata akan membunuh bisnes kita.